Kenali Diriku... |
Anak Pak Abu
Singapore
Perjalanan hidup kita ibarat putaran roda. Kekadang kita berada diatas, dan tanpa disedari kita boleh terus tergolek ke bawah.
Kesederhanan hidup membantu kita untuk menghargai rezeki yang diberikan dan kesempitan hidup memberi kita kesempatan untuk mendapatkan berkat dalam kita mengecapi kebahagiaan dengan usaha dan doa...
Lihat Profilku yang lengkap
|
Lelaman-Lelaman Ilmu |
<
|
Lelaman-Lelaman Lain |
|
|
"Saving Gaia" |
July 22, 2008 |
Ni bukan perihal menyelamatkan Cik Gayah ya.
SAVING GAIA
Pemuliharaan Sumber-sumber Terhad
Sekarang ni dah ada bermacam-macam program untuk menggalakkan warga Singapura agar mengurangkan penggunaan sumber-sumber terhad seperti air dan eletrik.
Mari kira sama-sama tinjau semula penggunaan-penggunaan berikut dalam kehidupan kita sehari-hari.
1- berapa kali kita buka dan tutup peti sejuk/ais? 2- berapa jam kita menggunakan alat penghawa dingin? 3- berapa jam televisyen dibiarkan "hidup" tanpa kita menontonnya (baca akhbar/tertidur)? 4- berapa lama kita membiarkan paip air terbuka sewaktu kita menggosok gigi? 5- berapa banyak kali kita mandi dengan menghidupkan alat pemanas air? 6- berapa lama kita "menghidupkan" komputer hanya kerana menerima "pelawaan" si permainan komputer?
Tidak terkira, kan?
Dan yang penting sekali, tahukah anda peralatan apa di rumah kita/rumah anda yang paling banyak menggunakan kuasa eletrik?
Sementara anda memeriksa tahap penggunaan eletrik anda, boleh juga bermain permainan interaktif di lelaman web PUB:
CABARAN 10-LITER PUB
|
posted by Anak Pak Abu @ 10:41 PM |
|
|
Hutang belajar |
July 15, 2008 |
Bab ini, serba salah saya nak beri komen. Kalau diikutkan hati saya, saya lebih suka simpan dulu, belanja kemudian.
Bagi saya, tak guna saya membayar yuran sekolah dengan pinjaman bank.
Sebab-sebabnya:
1) Kalau hutang itu terikat dengan faedah (bunga), dah tak berkat pelajaran itu. Siapalah saya untuk katakan sumber itu berkat atau tidak, tapi saya akan rasa gelisah dan seperti ilmu yang saya ambil ini tiada mendapat berkat dariNya.
2) Dah penat-penat belajar 3-4 tahun, baru nak merasa hasil titik peluh, dah kena bayar ansuran hutang bank. Diberikan contoh, kalau si siswazah membawa pulang gaji sebanyak $2,000 (lepas tolak CPF), lepas tu kena tolak bermacam-macam perbelanjaan, termasuk si ansuran bulanan $1,000 (anggaran), nak simpan dalam bank itu cuma tinggal berapa saja… Kalau nak kurangkan jumlah ansuran, kenalah panjangkan tempoh pinjaman. Sampai dah berumahtangga pun belum habis bayar hutang!
Ini pendapat saya lah. Ini semua terpulang pada pendapat setiap individu.
Terus terang, saya pun belum ada ijazah dari mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara. |
posted by Anak Pak Abu @ 11:08 PM |
|
|
Hutang Emas |
July 14, 2008 |
Pisang emas dibawa belayar Masak sebiji di atas peti Hutang emas boleh dibayar Hutang budi dibawa mati...
Ramai yang berfikir bahawa hutang emas itu boleh dan mudah dibayar. Ala, paling tidak pun, lepas dua, tiga bulan, kalau tak boleh bayar, gadaikan sajalah... Cakap memang mudah...
Kedai-kedai emas berlaga-laga untuk membenarkan sistem ansuran bagi para pembeli. Saya masih ingat lagi pada jingle Kedai Emas Kampung Melayu.
Mari kita singkap rangkap terakhir jingle tersebut:
"Tak cukup duit janganlah gundah Kemudahan kami sediakan Skim bayaran, ansuran mudah Pakai dahulu bayar kemudian... "
Haaa.... Pakai dahulu, bayar kemudian.
Ada yang kata, 1) perhiasan emas ini perlu untuk waktu sesak-sesak di kemudian hari 2) saya beli barang perhiasan emas ini supaya suami saya tak dipandang rendah oleh orang lain 3) saya beli barang perhiasan emas ini untuk pelaburan jangkamasa panjang dan macam-macam lagi lah...
Tapi, bagi saya, tak perlulah tayang perhiasan itu jika kita tak mampu. Silap haribulan, mengundang gejala rompakan saja, terutama sekali pada saat ekonomi muram ni.. |
posted by Anak Pak Abu @ 10:53 PM |
|
|
Hutang Kereta |
July 13, 2008 |
Yang ini ada dua golongan – mampu & tidak mampu, dan seterusnya dikategorikan mengikut dua faktor – keperluan dan keinginan.
1) Mampu dan ingin bergaya 2) Tidak mampu tetapi ingin bergaya 3) Mampu dan perlu sebagai kemudahan 4) Tidak mampu tetapi perlu sebagai kemudahan
Yang mampu dan ingin bergaya atau kerana perlu sebagai kemudahan itu tak apalah. Tetapi, yang tak mampu dia pula, ish.. ish.. ish…
Kasihan pada yang betul-betul perlu kerana pekerjaan, rumah di kawasan estet baru dan kemudahan ulang-alik masih belum mencukupi ataupun beliau tinggal di dalam hutan, di rumah yang dibuatnya sendiri… (ok, yang terakhir tu ter”over” sikit).
Yang tak mampu, tapi ingin mempunyai kenderaan itu, lagi kasihan. Bayaran pendahuluannya hanyalah $1, dan beliau ingat beliau mampu membayar ansuran bulanan. Bila masa si cempedak tu jadi nangka, mata beliau terus terbeliak dan mulalah jadi nyanyuk, “bila masa saya berhutang dengan awak? Seingat saya, saya bayar setiap bulan…”. Masa tu juga, syarikat kewangan tarik balik kereta tersebut dan si pembeli tu pun terus terbisu… Dan itu belum lagi kalau ada sisa-sisa faedah hutang kereta yang belum dibayar… Ish.. ish.. ish… kasihan…. Dipendekkan cerita, pertimbangkan dan bezakanlah antara keinginan dan keperluan anda, agar anda tidak terperangkap dalam belenggu hutang kereta ini...
|
posted by Anak Pak Abu @ 10:57 PM |
|
|
Hutang Ubahelok Rumah |
|
Yang ini dah menjadi kebiasaan orang Melayu kita pada zaman yang serba canggih, di mana semuanya tidak mahu ketinggalan dalam “mencantikkan” lagi rumah mereka. Maklumlah, kalau manusia nak pakai baju cantik, bersolek atau mengilatkan kasut, si rumah ni pun turut menjadi sasaran “jurusolek-jurusolek rumah”. Ada yang sebelum keluar rumah sudah menetapkan bajet sepuluh ribu saja. Tetapi, bila dah sampai di kedai ubahelok tersebut, waduh, terus berganda sehingga dua puluh ribu!
Niat di hati nak tukar kabinet dapur, “tertukar” juga lantai dapur. Niat di hati nak tukar wayar-wayar seluruh rumah yang sudah lama, “tertukar” juga paip-paip yang belum berapa lama. Kata orang, untuk keselamatan keluarga… Ada-ada saja…
Yang penting, sepatutnya, kita harus boleh mengukur baju di badan sendiri. Janganlah kita lihat orang lain ada ini, ada itu, kita pun mesti boleh. Memanglah yakin pada diri sendiri tu bagus, tetapi, yakin untuk berhutang buat apa?
Harta dunia takkan boleh dibawa ke mati, oiii... ~~~ Tinjaulah contoh promosi hebat di bawah ini... |
posted by Anak Pak Abu @ 10:17 PM |
|
|
Hutang Rumah |
July 12, 2008 |
Ramai yang layak untuk mendapatkan pinjaman dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) [Periksa kelayakan anda]. Bagi mereka, asalkan mereka masih ada pekerjaan dan diberi caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) secara tetap, mereka masih mampu untuk melunaskan bayaran bulanannya.
Tetapi, bagi mereka yang tidak layak, terpaksa mengambil pinjaman dari bank. Kebanyakan bank-bank mengenakan fixed interest rate (kadar faedah tetap) hanya pada 2 atau 3 tahun pertama, dan tahun-tahun yang mendatang, mereka mengenakan variable interest rate (kadar feadah berubah-ubah), mengambil kira kadar inflasi dan kadar rujukan yang ditetapkan oleh pihak bank.
[Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di lelaman ini]
Yang mana lebih sesuai? Carilah ejen hartanah yang sesuai yang boleh membantu anda dalam proses pencarian anda ini... Yang penting, kita jangan sampai terbelit dalam masalah hutang, sudah... |
posted by Anak Pak Abu @ 9:29 PM |
|
|
Bukan hutang, tapi Kredit... |
July 11, 2008 |
Konsep yang lebih glamor lah kononnya. Tetapi bagi saya, ia tetap dikirakan hutang...
Siapalah saya yang nak membahaskan atau memberi nasihat berkenaan hutang dan kredit ni kan... Tapi, saya tetap nak menarik perhatian anda semua mengenai beberapa jenis hutang/pinjaman/kredit yang bukan main glamor sekarang ni...
Antara jenis hutang/pinjaman/kredit yang paling biasa kita dengar adalah: Ø Pinjaman untuk hutang rumah Ø Pinjaman untuk hutang kereta Ø Pinjaman hutang ubahelok Ø Pinjaman untuk yuran pelajaran ... dan... Ø Hutang belanja kahwin!
Disebabkan hutang, orang nampak bergaya... Disebabkan hutang, buang keluarga, buang saudara... Disebabkan hutang, hidup merempat, duit selalu tak cukup...
Macam-macam masalah hutang ni, kan? Mari kita belek secara ringkas masalah hutang yang tak pernah selesai ini….
|
posted by Anak Pak Abu @ 5:56 PM |
|
|
Alahai... Sain (Tandatangan) saja lah... |
July 10, 2008 |
Inilah tabiat buruk kebanyakan rakyat Singapura sekarang. Berbelanja dan sign. Mendaftar dan sign. Malah menderma pun boleh bayar dengan sign saja...
Tak percaya? Cuba lungsuri lelaman-lelaman di bawah ini:
Community Chest ACRES School Pocket Money Fund
Ah... Betul, kan?
Berbelanja dan sign
Ramai yang sudah terpengaruh dengan zaman cashless society. Kalau bukan NETS, Kad Debit, pasti ada si Kad Kredit. Kedua-dua kad pertama itu kurang sikit risiko penggunaannya. Ialah, paling teruk pun, habis semua duit dalam akaun bank. Tapi, si kad nombor tiga tu - Kad Kredit - membawa pelbagai risiko, bukan setakat muflis, tetapi termasuk juga sakit jantung, sakit hati, sakit kocek dan hilang ingatan (ialah, dah berbelanja banyak, tapi taknak mengaku, malah eksyen tak ingat pula tu!).
Kadangkala, kita lupa bahawa setiap kemudahan yang diberikan kepada kita pasti ada risiko ataupun kemudaratannya jika kita menggunakan kemudahan itu secara berlebihan. Contoh? 1) Jualan Raksasa Singapura
Berbelanjalah sebanyak $30 keatas dan anda layak ke cabutan bertuah.
Haa... Dah lah jualan murah, hadiah pula bukan calang-calang. Kalau boleh, tiap-tiap hari nak membeli-belah, supaya ada lebih peluang untuk menang...
Ada lagi ni... Jika anda menggunakan kad kredit, peluang anda untuk menang akan berganda. Malah, anda juga akan mendapatkan wang tunai tambahan sekiranya anda menang!
Apa lagi.... sign sajalah...
2) Promosi hadiah percuma
Ah, ini mengenai si hadiah percuma lagi. Selalu saja enter frame.
Sebagai warganegara Singapura yang setia pada adat dan budaya berbilang bangsa dan agama, ramai yang setia menjadi seseorang yang kiasu. Hai~ Siapa yang tak mahu hadiah? Apa lagi, makin banyaklah dia berbelanja, kerana sekiranya si dia berbelanja lebih, nilai hadiah yang diterimanya pun pasti lebih tinggi! Dah begini rupanya, bolehkah kita gelarkannya "hadiah" "percuma" ???
Cara menanganinya?
Senang sahaja. Kalau kita dah membuat keputusan untuk membeli sesuatu, letakkan had pada harga barangan tersebut, dan pastikan kita bawa wang yang cukup hanya untuk membeli barangan tersebut.
Sebagai contoh, kalau saya ingin membeli sepasang blaus (penting) dan kebetulan pula saya memang sudah lama mencari beg tangan (tidak begitu penting), saya akan meletakkan had sebanyak $20 maksima bagi blaus dan $30 maksima bagi beg tangan. Dengan itu, saya hanya akan membawa $50 sahaja jika niat saya hanya untuk membeli barang-barang tersebut. Saya juga akan makan tengahari dahulu di rumah demi untuk menjimatkan kos.
Saya tidak akan terburu-buru membeli sesuatu. Jikalau saya berada di Tampines misalannya, saya akan berjalan-jalan ke beberapa tempat/kedai dahulu untuk meninjau-ninjau harga dan rekaan-rekaan yang ada. Setelah berpuas hati, baru saya memutuskan untuk membelinya.
Kesimpulannya, kita harus boleh menahan keinginan kita agar tidak melampaui keperluan kita. |
posted by Anak Pak Abu @ 10:25 PM |
|
|
Duit, Duit, Di mana kau duit??? |
July 7, 2008 |
Hidup untuk mencari duit atau mencari duit untuk hidup? Ramai yang masih keliru bagaimana hendak menjawab soalan ini.
Cuba kita fikirkan secara logika...
Hidup untuk mencari duit
Falsafah hidup orang seperti ini adalah, cari duit sampai ke negeri China... (ok gurau saja). Pendek kata, di mana saja ada peluang untuk mendapatkan duit, pasti dia akan cuba. Yang baiknya tentang si dia, beliau adalah seorang yang tekun dan bersungguh-sungguh. Dia akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan duit yang lebih banyak dari orang lain.
Yang buruknya, dia akan menjadi seorang yang tamak. Dia akan cuba mengeksploitasikan orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Malah, dia juga mungkin akan melakukan perkara-perkara yang bodoh dan salah di sisi undang-undang negara dan agamanya. Dia juga adalah seorang yang sanggup melakukan apa sahaja demi duit.
Tetapi, bila kita fikirkan di sisi yang lain pula, orang sebegini kasihan juga. Dia juga akan mudah tertipu kerana dijanjikan kekayaan jika melakukan sesuatu atau memberikan sesuatu. Dia akan percaya cakap sesiapa sahaja yang pandai bermuka-muka dengannya, asalkan ia melibatkan cara mendapatkan duit yang lebih.
Mencari duit untuk hidup
Orang seperti ini senang hidup secara sederhana. Yang baiknya mengenai dia adalah, dia tidak tamak dan puas dengan kejayaan dan kekayaan yang sederhana. Dia juga cukup bahagia dengan apa yang dia lakukan, terutama sekali dari segi pekerjaan. Dia jenis yang suka berjimat cermat dan tidak akan mengejar-ngejar sesuatu yang tak pasti.
Yang buruknya, dia tidak berani mencuba sesuatu yang baru. Dia tidak berani mengambil risiko dan tidak mahu mendapatkan kekayaan yang lebih. Ini akan menyebabkan beliau tetap di kedudukannya sekarang dan sukar untuk naik pangkat, kecuali mempunyai pengurus yang menilai kerajinan dan kesetiaan melebihi kejayaan seseorang pekerja dalam mengambil risiko dan cabaran.
Berduit, tiada harta Berharta, tiada berduit...
Yang ini lagi susah. Nak simpan duit banyak-banyak, atau beli aset banyak-banyak? Ataupun, melabur dalam saham, amanah saham, bon, dan sebagainya?Pernahkah anda mendengar dialog-dialog ini?
1) Aku beli rumah ni sebagai pelaburan masa depan. 2) Kereta ini aku beli sebagai aset keluarga. Senang nanti aku anak beranak nak ke sana ke mari. 3) Barang kemas ni mak beli untuk simpanan masa susah. Nanti kalau kau dah sesak-sesak, tak ada duit, bolehlah kau jual barang kemas ni.Ah... Macam biasa dengar, kan?
Ada duit, Abangku Sayang... Tiada duit, Abang Melayang...
Ramai yang mencari pasangan hidup, mesti yang berduit. Bezanya, ada cari yang berduit (ada wang simpanan) dan ada cari yang banyak duit (kaya)!
Terpulanglah pada individu. Yang penting dalam hidup mestilah jujur dan jangan berlagak seperti orang yang banyak duit, padahal "cik abang" hanya berpura-pura demi untuk memikat sang gadis...
Labels: aset, duit, pelaburan |
posted by Anak Pak Abu @ 9:47 PM |
|
|
Yang percuma... |
July 4, 2008 |
Bermacam-macam benda percuma
Aduh... Memang betul kata orang, kita tidak boleh mengharapkan yang terbaik jika sesuatu itu diberikan secara percuma. Baik ia dari segi pemberian sampel atau pek contoh produk percuma, servis percuma (untuk amal, promosi hari lahir ahli kelab, dsb) ataupun hadiah percuma jika berbelanja melebihi beberapa ratus dolar di sesebuah pusat membeli-belah.
Ditambah pula dengan penggunaan tandas-tandas awam di stesen-stesen MRT dan kebanyakan pusat-pusat membeli-belah yang kini (sudah lama pun) percuma, kita mula merasakan bahawa banyak lagi perkara di Singapura atau di dunia ini yang sudah sepatutnya percuma juga.
Hadiah Percuma
Pernah saya mendapat lampu suluh yang tidak berfungsi, hasiah percuma yang indah khabar dari rupa (yang kononnya bernilai $20+ tetapi rupanya seperti bernilai $5 sahaja) dan kemeja-t percuma yang cuma ada saiz L atau XL! Apakah rupa saya seperti seseorang yang berbadan saiz L atau XL? Tapi, benda-benda tersebut percuma kan? Dan tidak begitu penting, kan? Ah, kalau begitu, lupakanlah...
Lagi satu yang pelik berkenaan hadiah percuma ini adalah orang-orang yang terlalu meminta-minta. Bayangkan situasi ini:
* Hadiah percuma (bernilai $20) bagi perbelanjaan melebihi $100 dalam satu resit selagi stok masih ada.
Ada dua perkara yang selalu menjad runsingan dan rebutan warga Singapura dalam ayat ini: 1) hadiah percuma, 2) selagi stok masih ada.
Kalau dah ada hadiah percuma, mesti kejar sampai dapat. Tak kiralah kalau kita perlu berbelanja sehingga seratus dolar kerana yang penting, dapat hadiah percuma bernilai $20 pula tu!
Bab selagi stok masih ada ini yang selalu membuat warga-warga Singapura yang kiasu terkejar-kejar dan ada yang sehingga bertengkar dengan pihak penganjur kerana stok sudah habis. Alasannya? "Hari ini masih hari pertama promosi, kan? Takkanlah dah habis? Awak sengaja nak simpan-simpan stok lah tu!"
Khidmat Percuma
Yang paling tidak asing di Singapura adalah adanya tandas awam percuma seperti di stesen-stesen MRT dan pusat-pusat membeli-belah. Bila dah percuma, mutu kebersihan pun tak terjaga. Maklumlah, orang yang keluar masuk tandas tidak henti-henti. Baru selang beberapa saat tandas dibersihkan, dah ada orang lain masuk, lantas menambahkan lagi "keharuman" tandas tersebut.
Adakah salah si pekerja pembersihan itu kerana kurang perhatian terhadap kebersihan tandas-tandas tersebut? Tak juga, kan, kerana takkanlah kita hendak menyuruhnya memerhatikan tandas-tandas tersebut sepanjang masa?
Ataupun adakah ia salah orang awam yang tidak menyiram atau membersihkan sendiri (secara ringkas) setelah menggunakan? Tak juga, kan, kerana mereka tidak dibayar untuk melakukannya dan bukankah sudah ada pekerja pembersih di situ? Lagipun, bukankah mereka ni selalu dalam keadaan kelam-kabut, mana ada waktu nak membersihkannya sendiri?
Pekerjaan Percuma
Yang ini melibatkan kerja-kerja kemasyarakatan ataupun kerja-kerja sukarela. Ada segelintir diantara mereka yang kurang ikhlas melakukannya, mengakibatkan kerja-kerja yang asal-boleh ataupun yang tidak bersungguh-sungguh.
Saya bukannya ingin mengutuk atau mengata. Saya yakin, ramai lagi sukarelawan yang ikhlas melakukan tugas-tugas sukarela mereka, tetapi ada segelintir diantara mereka yang merosakkan imej sukarelawan ini. Tapi, saya yakin, perkara ini tidak akan jadi seperti sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana rakyat dunia masih lagi menghormati dan menghargai jasa para sukarelawan ini.
Percuma... Percuma... Percuma...
Sebenarnya, kalau kita amati betul-betul, tiada yang percuma di dunia ini.
Walaupun kita menggunakan tandas percuma, tetap pihak "empunya tandas" perlu menggajikan pekerja pembersih untuk membersihkan tandas-tandas awam ini dan segala macam kos-kos penyelenggaraan yang perlu mereka biayai.
Walaupun kita dapat hadiah percuma, kita tetap perlu berbelanja mengikut had yang ditetapkan. Pendek kata, kalau berbelanja kerana inginkan hadiah percuma, banyak pembaziran yang akan berlaku. Seperti membeli sebuah periuk kecil hanya untuk mencukupkan jumlah perbelanjaan yang diharuskan, padahal di rumah sudahpun bertimbun-timbun periuk.
Percuma sahaja kita terus-terusan memikirkan tentang perkara-perkara percuma ini. Memeningkan kepala lagi ada. Lagipun, mana ada hadiah percuma, sekiranya kita perlu berbelanja sebelum mendapatkan hadiah tersebut?
Dan yang pasti, hadiah tu kan dah maknanya suatu pemberian? Dan bukankah suatu pemberian itu dah sememangnya percuma? Ada juga ke istilah "hadiah percuma"?
Labels: hadiah, percuma, promosi |
posted by Anak Pak Abu @ 8:06 PM |
|
|
Dalam kesempitan ke kita ni? |
July 3, 2008 |
Kais pagi makan pagi, Kais petang makan petang, Kais malam... Kerja Overtime!
Nak kumpul duit, terpaksa kerja lebih masa. Tapi kalau diikutkan, kalau kita bijak membahagikan perbelanjaan kita, kita takkan kesempitan.
Saya masih ingat lagi zaman ibu bapa saya. Waktu mereka pun nak berbelanja, terkais-kais. Kalau nak makan sedap-sedap, tunggu hujung bulan baru boleh. Walaupun setakat ayam! Waktu saya di peringkat tadika, nak makan ayam goreng, tunggu abah saya gaji. Masa tu dah beli kepak ayam sekilo, mak saya akan goreng dan kita ratah sambil tonton televisyen. Yang selebihnya, buat lauk untuk esok atau lusa.
Kekadang tu, kalau tak beli ayam, abah bawa kita dua beranak (masa itu belum ada adik lagi) pergi pasar Geylang untuk makan luar. Itu sajalah kemewahan kita, 20 tahun yang lepas.
Sekarang ni, tanya saja teman-teman yang luar sana, dalam seminggu entah berapa kali makan lauk ayam, makan di luar dan pesan home delivery (makanan yang dihantar kerumah). Tak terkira, kan?
Mungkin, frasa "dalam kesempitan" itu hanyalah bayangan kita sahaja kerana kita tidak dapat menolak kemewahan dan hidup dalam kesederhanaan. Jika sebelum kos kehidupan semakin meningkat, kita sudah terbiasa hidup berjimat cermat, saya rasa kita pasti tiada masalah hendak menangani peningkatan kos ini.
Mungkin juga "kesempitan" ini memberi kita kesempatan untuk melakukan muhasabah diri dan mengajar kita agar lebih bijak mengatur perbelanjaan seharian serta pemakanan kita. Yang penting, kawali nafsu kita!
|
posted by Anak Pak Abu @ 11:41 PM |
|
|
Naik Lagi... Naik Lagi... |
June 30, 2008 |
Dah lihat perangkaan ringkas tadi?
Walaupun dari hasil perangkaan kebangsaan, kita mendapati kenaikan harga keperluan asas seperti beras dan minyak masak hanya naik sekadar 0.8% dari April hingga Mei, mari kita belek semula sekiranya kita bandingkan harga-harga tahun lepas dengan tahun ini.
Minyak masak yang secara purata berharga $3 sekilo, kini sudahpun mencecah $7 sekilo. beras yang keluarga saya gunakan (Flying Man Healthier Choice), dahulu paling mahal pun $17 bagi pek 10g, kini $25 bagi pek yang sama.
Si susu pekat manis (untuk membuat kopi dan milo) juga tidak mahu ketinggalan. Kalau tahun lepas, kita masih boleh membeli setin susu pekat manis (jenama Beehive, Teapot) pada harga 75 sen, kini $1.
Jika syarikat-syarikat teksi sudah mula menaikkan harga (lagi), pengendali bas-bas privet juga turut sama. Ada beberapa syarikat bas privet sudahpun menghantar permohonan mereka ke Majlis Pengangkutan Awam (Public Transport Council) untuk menaikkan tambang mereka. Tak lama lagi, syarikat-syarikat bas awam juga akan menaikkan tambang mereka (lagi).
Tapi, perlukah kita mengeluh? Apakah nasib kita seteruk insan-insan di negara lain?
|
posted by Anak Pak Abu @ 11:28 PM |
|
|
Statistik Ringkas |
|
Perangkaan (Statistik) Ringkas
(Apr -> Mei) CPI (Consumer Price Index): naik 0.2% Harga makanan (beras/minyak masak/ikan segar/sayur): naik 0.8% Harga kenderaan/pengangkutan harian atau penyelenggaraan kenderaan: naik 0.6% Harga rumah: naik 0.5% [dipetik dari lelaman web singstat.gov.sg]
Harga-harga lain yang turut naik termasuk tambang teksi, harga makanan (yang sudah dimasak), harga ayam dan daging (yang diimport) dan banyak lagi.
|
posted by Anak Pak Abu @ 10:09 PM |
|
|
|
Arkib |
|
BLOGGER.COM |
|
|